Video Terbaru @JomTanamSayur

Sabtu, 17 Disember 2016

D.I.Y : NutriPot Ringkas dan Mampu Milik

Matlamat asas berkebun di halaman rumah adalah untuk menjimatkan kos dapur. Dalam masa yang sama pertanian bandar atau kebun bandar mestilah menjimatkan masa, memudahkan kerja pengurusan tanaman dan mendapat pulangan yang setimpal. Satu masalah ketara penanaman sayuran secara hobi atau kecil-kecilan adalah penyiraman.

Sebagaimana diketahui, sayuran memerlukan sokongan penyiraman kerana morfologi akar sayuran yang pendek tidak dapat mencari air sendiri jika tidak dibantu. Kekurangan air akan memberikan kesan serta merta kepada kesuburan sayuran. Apatah lagi jika ditanam bukan atas batas atau tanah.

Oleh itu satu sistem yang di namakan NutriPot telah dicipta untuk menyelesaikan masalah penyiraman yang kerap. Idea di sebalik konsep NutriPot ialah penyiraman dan pembajaan serentak. Set NutriPot ini banyak dijual secara online, contohnya facebook JoeJalil Gardening.

Menggunakan konsep asas NutriPot tersebut, satu kaedah NutriPot ringkas boleh di buat bergantung kepada kreativiti.

Gambar dibawah menceritakan segalanya. Menggunakan bahan-bahan asas sepertimana tanaman biasa, cuma sedikit penambahan iaitu baldi dan sumbu. Baldi dan sumbu boleh didapati di kedai plastik atau kedai RM 2, begitu juga sumbu ( boleh gunakan sumbu dari mob lantai ). Baja biji yang biasa digunakan untuk tanaman dicairkan ( campurkan dgn air dan digoncang menjadi larutan baja yang mudah diserap oleh akar ).

NutriPot dapat menyelesaikan masalah kekerapan menyiram
NutriPot Ringkas
NutriPot Ringkas
Air boleh dimasukkan melalui polibeg atau tepi antara baldi dan polibeg
Saiz baldi mestilah boleh memuatkan polibeg yang berisi media tanam lebih kurang 2-2.5 inci ke dalam baldi atau separuh baldi. Ukuran ini untuk polibeg saiz 9x9 inci.

Sumbu perlu dipasang didalam polibeg dan dijulurkan keluar bahagian bawah polibeg.

Bahagian bawah baldi yang kosong akan bertindak sebagai tempat simpanan air untuk di serap oleh sumbu ke bahagian atas tanah.

Baja biji dicairkan mengikut sukatan bawah baldi yang kosong. Baja boleh terus di siram ke dalam polibeg. Biarkan air baja diserap oleh media tanam dan lebihan air baja turun ke bahagian bawah baldi. Tambahkan air biasa jika takung belum penuh.

Bergantung kepada jenis tanaman dan cuaca, kadar siraman yang diperlukan di antara 4 hari ke seminggu atau lebih.

Untuk permulaan bolehlah di periksa paras air setelah 3 hari. Apabila kadar penyerapan air oleh tanaman sudah stabil, maka ulangi penyiraman baja setiap 2 x ulangan ( selang seli dengan air biasa ).

Saiz baldi atau takung bergantung kepada saiz polibeg. Jika polibeg lebih besar digunakan maka carilah saiz baldi yang bersesuaian. Yang penting polibeg yang berisi media tanam mestilah boleh dimasukkan kedalam baldi pada kedalaman separuh baldi ( separuh lagi untuk diisi oleh air atau air baja ).

Pilihan lain ialah menggunakan 2 baldi yang berlainan saiz dimana satu sebagai takung dan satu lagi sebagai bekas tanaman. Pilihan masing-masing. Buat lubang pada baldi bekas tanaman untuk sumbu dan aliran air turun ke takung. Kaedah ini mungkin lebih baik kerana baldi tertutup rapat untuk mengelakkan pembiakan nyamuk, namun akan meningkatkan kos belian baldi atau bekas.

Pendek kata, masalah penyiraman dan pembajaan dapat di selesaikan serentak
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan