Video Terbaru @JomTanamSayur

Selasa, 27 Disember 2016

Kemaskini Kebun Tepi Rumah ( KTR ) 27.12.2016

Tahun 2016 sudah menghampiri penghujung, semoga amalan kebaikan semakin bertambah tahun 2017. Seputar aktiviti di KTR kebelakangan ini. Fokus untuk mendapatkan cara terbaik " Best Practice " dalam teknologi penanaman sendiri sayuran di halaman rumah a.k.a kebun bandar.

Jika ada teknik-teknik terbaru, dapatlah dikongsikan bersama hendaknya. Antara gambar2 yang sempat di koleksikan.

jom tanam sayur
Menuai kangkung hasil pindahan dari projek kangkung tapis yang gagal kerana faktor baja yang tak berkualiti. Salad juga makin membesar walau teruk ditimpa iar hujan
Kangkung tahan serangan perosak, manakala sawi disebelahnya teruk kena serang ulat seribu ( faktor air hujan mungkin menggalakkan pembiakan ulat ini kerana sawi yang tidak kena hujan tiada masalah pula )
jom tanam sayur
Kobis yang sudah berkudup walaupun kecil kudupnya. Kobis perlukan teduhan dari panas membahang terutamanya musim panas
jom tanam sayur
Kobis di tanam di tanah rendah, panas dan hujan serta struktur tanah liat merupakan pengalaman berharga
jom tanam sayur
Tidak lama lagi kobis ini akan sampai ke penghujungnya, akan dituai mana yang elok
jom tanam sayur
Daripada 12 pokok, 2 rosak diserang ulat manakala lagi 10 pokok nampaknya masih elok. Masa menuai nanti tahulah apa keadaannya
jom tanam sayur
Apa akan berlaku jika kacang panjang dibiarkan menjalar tanpa junjung / para ?
jom tanam sayur
Pokok bendi yang perlu dipisahkan sepokok ke NutriPot Ringkas
jom tanam sayur
Lambatnya menunggu kangkung berbunga dan berbuah untuk dijadikan biji benih
jom tanam sayur
Terung dalam NutriPot Ringkas, hanya perlu tambah air seminggu sekali, tidak perlu jika hujan
Antara NutriPot Ringkas yang telah ada, yang ini dipindahkan sayuran yang sudah besar. Akan dibuat lagi bermula dari anak sayuran untuk melihat keberkesanan kaedah NutroPot Ringkas ini
jom tanam sayur
Anak pokok tebu yang semakin membesar di Kebun Tepi Rumah

Pendek kata, macam-macam cara menanam boleh dibuat
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Isnin, 26 Disember 2016

Teknologi Penanaman BerbilangJenis ( MultiSpecies )

Kebiasaannya digunakan untuk penanaman bunga hiasan atau landskap. Kaedahnya ialah mencampurkan biji benih bunga yang cepat, sederhana dan lambat berbunga. Ini dapat mengurangkan kos pengindahan lanskap tanpa perlu kerap menukar tanaman.


Kaedah ini juga dapat menjimatkan kos biji benih bila pokok yang berbunga awal dapat matang dahulu seterusnya menghasilkan anak pokok baru yang silih berganti. Pada penanaman sayur, kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah campur atau companion. Tujuannya untuk menghindarkan perosak atau serangga dengan menanam sayuran yang berlainan jenis dan mempunyai fungsi berbeza.

Cara penanaman berbilang jenis untuk sayuran dapat juga diaplikasikan untuk tanaman jangkamasa pendek, sederhana dan panjang. Contohnya tanaman berdaun seperti sawi, kangkung, salad boleh ditanam dibatas cili atau terung dengan sedikit pengubahsuaian. Dengan ini dapat memaksimumkan penggunaan tanah dan memberikan hasil sampingan sementara menunggu tuaian cili atau terung. Boleh juga diaplikasikan pada pot, pasu, polibeg atau bekas penanaman yang lain.

Daripada membiarkan rumput tumbuh, lebih baik sayuran berdaun yang tumbuh.

Pendek kata, jom maksimakan penggunaan tanah.
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Sabtu, 24 Disember 2016

D.I.Y : NutriPot Ringkas dan Gambar

Oleh kerana merasakan idea ini mempunyai potensi untuk dikembangkan, maka jumlah set NutriPot Ringkas telah ditambah.

nutripot ringkas dan praktikal
Pokok Terung dalam NutriPot Ringkas
NutriPot ringkas dan praktikal
Pokok cabai dalam NutriPot Ringkas
pokok cabai dalam nutripot
Pokok cabai
pokok cabai dalam nutripot
Pokok cabai
pokok kesum dalam nutripot
Pokok kesum
pokok cabai dalam nutripot
Pokok cabai
pokok cabai dalam nutripot
Lagi pokok cabai

Pendek kata, banyak idea yg ada lagi
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Rabu, 21 Disember 2016

D.I.Y : Composter Ringkas dan Praktikal

Semasa sedang berfikir untuk menambah baik sistem botol tanam untuk penyiraman, pembajaan dan menyuburkan tanah, timbul idea untuk buat sendiri Composter atau Alat Mengompos menggunakan bekas plastik ( byk guna bekas-bekas plastik ini )

jom tanam sayur
Ilustrasi Composter Ringkas dan Praktikal


Caranya ialah menggunakan balang plastik bekas kuih muih yang bertutup besar supaya senang di masukkan bahan-bahan kompos. Balang ini ditebuk sekelilingnya untuk pengudaraan dan sisa air kompos keluar.

Balang ini ditanam kedalam pasu atau bekas tanaman di tengah-tengah dan mempunyai kedalaman yang sama atau lebih dari panjang balang tersebut. Biarkan bahagian penutup timbul di permukaan untuk proses memasukkan bahan kompos.

Bahan-bahan kompos atau sisa dapur dipotong kecil-kecil untuk mempercepatkan proses pengomposan berlaku. Bahan kompos bolehlah dimasukkan bila perlu.

Pasu atau bekas tersebut bolehlah ditanam dengan tanaman seperti biasa. Selain dari mempunyai composter sendiri, ianya juga dapat membekalkan nutrien kepada tanaman semasa proses pengkomposan berlaku.

Setiap kali sisa dapur ditambah, sisa bahan di dalam balang atau composter perlu digaul untuk mempercepatkan proses berlaku. Kompos akan siap setelah 3 bulan atau lebih dan bolehlah digunakan.

Pendek kata, macam-macam kegunaan bekas plastik ini
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Selasa, 20 Disember 2016

D.I.Y : NutriPot Ringkas dan Praktikal

Kemaskini 11.2.17

NR bersaiz 1 gelen seperti dibawah tidak sesuai untuk tanaman cili, terung, bendi, tomato, kekacang dan sebagainya kerana faktor kapasiti media tanam dan takungan air yang sedikit.

Penggunaan bekas tanaman bersaiz 2 gelen ke atas lebih praktikal kerana lebih berat serta takung air lebih banyak. Pokok yang sedang membesar memerlukan air yang banyak untuk tidak mengganggu proses berbunga dan berbuah.
--------------------------------------------------------------

Di sebabkan terdapatnya baldi murah di kedai RM2, maka projek NutriPot Ringkas telah ditambah baik seperti berikut :

nutripot ringkas dan praktikal
Polibeg telah digantikan dengan baldi sebagai tempat tanaman, sumbu dipasang dan juga dibuat lubang kecil untuk air turun ke takung

nutripot ringkas
Sumbu dijulurkan kebawah baldi tempat tanaman dan panjang sumbu boleh mencecah dasar baldi takung
nutripot ringkas
Lubang kecil untuk air lebihan keluar dibuat pada baldi yang bertindak sebagai takung air
nutripot ringkas
3 pokok cili dan 1 pokok terung dipindahkan ke NutriPot Ringkas ini dan disiram air baja ( baja biji yang dicairkan )

Pendek kata, macam-macam variasi NutriPot boleh dihasilkan sendiri
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Sabtu, 17 Disember 2016

D.I.Y : NutriPot Ringkas dan Mampu Milik

Matlamat asas berkebun di halaman rumah adalah untuk menjimatkan kos dapur. Dalam masa yang sama pertanian bandar atau kebun bandar mestilah menjimatkan masa, memudahkan kerja pengurusan tanaman dan mendapat pulangan yang setimpal. Satu masalah ketara penanaman sayuran secara hobi atau kecil-kecilan adalah penyiraman.

Sebagaimana diketahui, sayuran memerlukan sokongan penyiraman kerana morfologi akar sayuran yang pendek tidak dapat mencari air sendiri jika tidak dibantu. Kekurangan air akan memberikan kesan serta merta kepada kesuburan sayuran. Apatah lagi jika ditanam bukan atas batas atau tanah.

Oleh itu satu sistem yang di namakan NutriPot telah dicipta untuk menyelesaikan masalah penyiraman yang kerap. Idea di sebalik konsep NutriPot ialah penyiraman dan pembajaan serentak. Set NutriPot ini banyak dijual secara online, contohnya facebook JoeJalil Gardening.

Menggunakan konsep asas NutriPot tersebut, satu kaedah NutriPot ringkas boleh di buat bergantung kepada kreativiti.

Gambar dibawah menceritakan segalanya. Menggunakan bahan-bahan asas sepertimana tanaman biasa, cuma sedikit penambahan iaitu baldi dan sumbu. Baldi dan sumbu boleh didapati di kedai plastik atau kedai RM 2, begitu juga sumbu ( boleh gunakan sumbu dari mob lantai ). Baja biji yang biasa digunakan untuk tanaman dicairkan ( campurkan dgn air dan digoncang menjadi larutan baja yang mudah diserap oleh akar ).

NutriPot dapat menyelesaikan masalah kekerapan menyiram
NutriPot Ringkas
NutriPot Ringkas
Air boleh dimasukkan melalui polibeg atau tepi antara baldi dan polibeg
Saiz baldi mestilah boleh memuatkan polibeg yang berisi media tanam lebih kurang 2-2.5 inci ke dalam baldi atau separuh baldi. Ukuran ini untuk polibeg saiz 9x9 inci.

Sumbu perlu dipasang didalam polibeg dan dijulurkan keluar bahagian bawah polibeg.

Bahagian bawah baldi yang kosong akan bertindak sebagai tempat simpanan air untuk di serap oleh sumbu ke bahagian atas tanah.

Baja biji dicairkan mengikut sukatan bawah baldi yang kosong. Baja boleh terus di siram ke dalam polibeg. Biarkan air baja diserap oleh media tanam dan lebihan air baja turun ke bahagian bawah baldi. Tambahkan air biasa jika takung belum penuh.

Bergantung kepada jenis tanaman dan cuaca, kadar siraman yang diperlukan di antara 4 hari ke seminggu atau lebih.

Untuk permulaan bolehlah di periksa paras air setelah 3 hari. Apabila kadar penyerapan air oleh tanaman sudah stabil, maka ulangi penyiraman baja setiap 2 x ulangan ( selang seli dengan air biasa ).

Saiz baldi atau takung bergantung kepada saiz polibeg. Jika polibeg lebih besar digunakan maka carilah saiz baldi yang bersesuaian. Yang penting polibeg yang berisi media tanam mestilah boleh dimasukkan kedalam baldi pada kedalaman separuh baldi ( separuh lagi untuk diisi oleh air atau air baja ).

Pilihan lain ialah menggunakan 2 baldi yang berlainan saiz dimana satu sebagai takung dan satu lagi sebagai bekas tanaman. Pilihan masing-masing. Buat lubang pada baldi bekas tanaman untuk sumbu dan aliran air turun ke takung. Kaedah ini mungkin lebih baik kerana baldi tertutup rapat untuk mengelakkan pembiakan nyamuk, namun akan meningkatkan kos belian baldi atau bekas.

Pendek kata, masalah penyiraman dan pembajaan dapat di selesaikan serentak
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

D.I.Y : Siraman dan Pembajaan Automatik kaedah Botol Titis

Kaedah penyiraman atau pembajaan automatik menggunakan botol plastik kitar semula amat praktikal untuk menjimatkan masa menyiram.


Caranya amat mudah dimana bahagian bawah botol dipotong tetapi tidak sepenuhnya. Ini akan bertindak sebagai penutup mengelakkan nyamuk membiak. Bahagian penutup boleh dilubangi dengan paku atau pun hanya menggunakan penutup botol sebagai pelaras titisan air.

Botol ini diikatkan kepada satu kayu menggunakan pita pelekat dengan keadaan terbalik iaitu bahagian berpenutup menghala ke bawah.

Botol siraman automatik sudah siap dan boleh digunakan. Pelarasan titisan air menggunakan penutup botol atau paku.

Boleh digunakan dengan hanya mencacakkan ke dalam pasu, polibeg atau tanah dan di tambah air atau air baja.

Pendek kata, sangat mudah dan berkesan
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

D.I.Y : Menyuburkan Tanah Kaedah Botol Tanam

Samada untuk menyiram tanaman secara efektif tanpa pembaziran atau membaja tanaman dengan efisien atau untuk menyuburkan tanah, kaedah botol kitar semula yang ditanam boleh digunakan.

kaedah botol tanam untuk menyuburkan tanah
Gambaran kaedah botol tanam

Caranya dengan melubangkan di keliling botol dan ditanam. Tinggalkan bahagian penutup untuk kegunaan mengisi air.

Bergantung kepada jenis tanaman dan keadaan tanah, penggunaan lebih dari satu botol boleh di praktikkan. Kaedah ini elok di sediakan pada peringkat awal penanaman supaya tidak menganggu pertumbuhan akar dan pokok.

Dengan kaedah ini air atau air baja dapat terus di agihkan kepada akar pokok. Jika penyiraman biasa hanya tanah bahagian atas yang sentiasa lembap manakala bahagian dalan tanah mungkin kering terutama jika jenis tanah liat.

Disamping itu, rumput dan rumpai di sekitar pokok dapat di kurangkan kalaupun tidak dapat dihapuskan terus.

Isian boleh dilakukan menggunakan penyiram atau salur getah biasa dibantu oleh corong air.

Pembajaan juga dapat dilakukan menggunakan cara yang sama.

Pendek kata, satu kaedah praktikal yang baik
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Rabu, 14 Disember 2016

Perkembangan Tanaman Kebun Tepi Rumah 13.12.16

Di bawah adalah ringkasan apa yang sempat di fotokan hari ini.

anak pokok bunga butang dalam bekas plastik
Bunga Butang yang semakin besar, boleh dipindahkan
kangkung hidroponik takung
Kangkung sistem Hidroponik Takung yang gagal kerana baja yang tidak efisien

NutriPot perlukan baja yang bersesuaian
Cubaan Cili NutriPot yang juga gagal berkembang
jom tanam sendiri sayuran di kebun bandar
Anak pokok bunga matahari atau rumput ?

tanaman bawang dalam bakul raga
Bawang sedang merebak / bercambah
limau kasturi
Limau kasturi
ubi kayu
Ubi kayu dalam polibeg
koleksi rumput dan rumpai
Rumput rampai yang sihat bugar
terung ungu panjang
Terung ungu panjang
pokok limau purut
Limau purut yang kurang sihat
pokok tebu
Pokok tebu makin sihat
pokok bendi
Pokok bendi
kacang panjang
Anak kacang panjang
Pendek kata, untuk penambahbaikan
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Ahad, 11 Disember 2016

Kaedah Penyiraman Sayuran

Penyiraman air kepada sayuran amat penting terutama jika hari panas, tanaman bukan atas batas atau tanah ( polibeg, pasu dan seumpamanya ). Kekurangan air 1 hari sudah nampak kesannya pada sayuran. Kaedah penyiraman terbaik sayuran adalah pada pagi dan petang, manakala penyiraman pada pagi setiap hari adalah pilihan kedua.

keperluan air berbeza mengikut jenis tanaman serta bekas tanam
HidroPot ringkas ini bertahan selama 3 hari sebelum isian semula

Masalah penyiraman ini yang banyak membantutkan hasrat ramai warga bandar terutamanya untuk menjadi petani bandar atau membuat kebun bandar. Untuk mengatasi masalah penyiraman terutama bagi warga yang selalu tiada di rumah beberapa kaedah boleh dilaksanakan :

1. Kaedah Kapilari
Kaedah ini menggunakan sumbu yang boleh mengalirkan air dari tempat simpanan air samada botol atau baldi dan seumpamanya ke pasu pokok. Sistem ini berfungsi dengan menyambungkan sumbu dari baldi atau botol ke tanah disekitar pangkal pokok. Apabila tanah memerlukan air, ia akan menyerap air dari bekas air tersebut.

2. Kaedah Graviti
Kaedah ini melibatkan bekas air berada ditempat yang lebih tinggi dari pasu tanaman. Kaedah ini juga boleh menggunakan sumbu atau pvc dan sebagainya mengikut kreativiti.

3. Kaedah Botol Kitar Semula
Kaedah ini sangat mudah dimana botol minuman dipotong bahagian bawah manakala bahagian penutup di buat lubang halus. Botol ini ditanam disebelah tanaman dalam pasu dan dimasukkan air kedalamnya. Bergantung kepada saiz pasu, gunakan botol yang bersesuaian. Air atau air baja boleh ditambah bila sudah habis.

4. Kaedah Hidroponik dan Variasinya
Kaedah ini dicipta untuk mengatasi kerja-kerja menyiram, membaja, merumpai, mengatur letak tanaman dan sebagainya. Kaedah Hidroponik sangat sesuai untuk tanaman sayuran jenis daun dan matang pada jangkamasa pendek ( 1-2 bulan ). Sistem Fertigasi adalah salah satu variasi hidroponik.

5. Kaedah NutriPot atau HydroPot atau HidroKultur
Kaedah ini adalah lanjutan dari kaedah hidroponik dimana selain daripada sayuran berdaun, Nutri Pot juga sesuai untuk pokok sayuran berbuah seperti cili, terung, tomato dan sebagainya. Kaedah ini menjadikan kawasan penanaman nampak kemas, cantik dan bersih.

6. Kaedah GreenKit
Kaedah ini adalah inovasi MARDI dengan tujuan untuk mengurangkan jumlah siraman tanpa menjejaskan tanaman. Kaedah ini menggunakan air simpanan dibahagian bawah bekas tanaman sebagai sumber air kepada tanaman. Penambahan air dilakukan bila terdapat pengurangan bekalan air  pada tempat simpanan air tersebut menggunakan salur paip yang disediakan.

Pendek kata, kalau hendak seribu daya
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Khamis, 8 Disember 2016

Tuaian Kunyit musim hujan

Kunyit termasuk herba yang mempunyai banyak manfaat kepada manusia. Kepentingannya termasuk untuk masakan, kecantikan serta perubatan.

Kunyit ini sepatutnya di tuai sebelum musim hujan. Hujan yang berterusan menyebabkan tanah sentiasa lembab / basah dan merosakkan umbisi kunyit.

tanam kunyit dalam pasu pun boleh
Kunyit dalam 4 pasu
kunyit sensitif dengan air yang banyak
Banyak umbisi kunyit yang busuk kerana basah / lembab

Pendek kata, jom tanam kunyit
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Tuaian Bawang Merah

Bawang merah yang ditanam secara suka2 sebenarnya amat mengujakan. Daripada seulas bawang merah boleh bercambah atau membiak dengan agak cepat memang menarik perhatian walaupun pada mulanya kurang di beri harapan..

Selepas ini aktiviti menanam bawang merah akan menjadi aktiviti wajib di Kebun Tepi Rumah ( KTR).

bawang merah memang menakjubkan
Daripada 1 ulas menjadi 4 ulas, hebat kan !

tuaian bawang
Daun yang sudah kering menunjukkan tiba waktu menuai

menanam dan menuai bawang merah
Kali pertama menanam dan menuai bawang merah, teruja

bawang tanam sendiri, tuai sendiri
Bawang hasil tanaman sendiri, best kan !


Pendek kata, tanam sendiri bawang adalah pengalaman yang amat menakjubkan
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2

Selasa, 6 Disember 2016

Mengalih anak sayur salad ke polibeg

Aktiviti hari ini ialah mengalihkan anak sayur salad ke dalam polibeg untuk proses tumbesaran seterusnya.

anak sayur salad dalam polibeg
Ada 7 sahaja salad yang tumbuh, siap dipindahkan
rupa anak pokok salad yang ditanam
Rupa salad yang ditanam

18.1.17 : KTR

Selain salad yang di pindahkan, ada lain2 gambar tempelan untuk tatapan.

anak pokok cili dalam polibeg
Pokok cabai yang dipangkas oleh penyakit sudah bertunas semula
pokok serai di kebun bandar
Rambut sudah panjang, bila mau potong ?

perosak sayur sawi
Antara sawi yang diserang perosak

Pendek kata, macam-macam boleh berlaku
Jom Tanam Sayur - Tanam Sendiri Makan Ramai2