Video Terbaru @JomTanamSayur

Khamis, 19 September 2019

Pokok Ceri Kampung ( Muntingia calabura )

Pokok ceri kampung atau ceri hutan atau ceri liar aka Muntingia calabura adalah tanaman saka liar yang besar, tinggi, rimbun, mudah hidup, tahan lasak serta tahan lama.

Boleh tumbuh dari :
1. Biji benih yang dibawa oleh najis haiwan seperti burung, tupai, kelawar buah dan sebagainya.
2. Anak dari rizom akar yang terdedah di permukaan tanah.
3. Keratan batang.

Dapat hidup di kebanyakan tanah, tanah tidak / kurang subur, tanah berasid / beralkali, tanah keras / padat dll. Kerana itu ada yang jadikan pokok ceri kampung aka Muntingia calabura sebagai pokok penggembur tanah ( akar yg menjalar jauh dan dalam ), penyubur tanah ( daun2 / ranting2 yg gugur ), peneduh tanah ( rendang / tinggi), pemulihan / pemeliharaan hutan, penahan hakisan tanah, penarik kepada banyak spesis burung2 ( buah ), tanaman industri ternakan lebah ( bunganya ) dll.

Ada banyak kegunaan pokok ini dari biji, buah, bunga, daun, kulit, batangnya hingga ke akarnya. Bunganya menjadi tumpuan lebah / semut untuk nektarnya. Buahnya sebagai makanan burung2, tupai, kelawar, ikan sungai dan manusia. Daun, buah dan bunganya dipercayai dapat membantu dalam bidang perubatan dan kecantikan.

Akar pokok ceri kampung aka Muntingia calabura jenis keras, besar, tahan lasak dan menjalar jauh dan dalam. Batangnya jenis berkayu lembut agak liat dan berat ( hidup ) dan rapuh / berongga / ringan ( mati ). Kulit pokok ceri kampung jenis berserat / fiber dan ada yang jadikan tali. Dahan dan rantingnya pula keluar berselerak, panjang dan mengelilingi batang utama membentuk kanopi yang rendang dan teduh. Daunnya hijau kekuningan ( muda ), hijau pekat ( matang ) dan kuning ( tua ).

Bunganya jenis bunga sempurna 5 kelopak berwarna putih dimana kelamin jantan dan betina berada pada kelopak bunga yang sama. Pendebungaan dibantu oleh serangga ( lebah, semut dll ). Buahnya hijau pekat ( muda ), hijau cerah ( matang ) dan merah ( masak ), hitam ( tua ) dan bijinya halus.

Pokok ceri kampung adalah jenis pokok yg tidak perlukan baja tambahan / kimia. Bila pokok dah besar, daun2 dan ranting2nya yang mati dan jatuh ke tanah akan menarik cacing tanah untuk proses pereputan. Cacing tanah akan menghasilkan baja tahi cacing ( vermicompost ) kepada pokok ceri kampung. Manakala buah2nya pula menarik haiwan terutamanya burung2 yang akan makan dan membuang najis di sekitaran kawasan tanah pokok ceri. Tahi burung, tupai, kelawar buah dan seumpamanya akan menjadi baja organik kepada pokok ceri kampung aka Muntingia calabura.

Penyiraman tidak diperlukan kepada pokok yang tumbuh sendiri kerana air hujan dan air embun ( yang diperangkap oleh daun ) sudah mencukupi untuk tumbesarannya.

Setakat ini perosak yang dikenalpasti adalah belalang kunyit / besar yang memakan daun pokok ceri kampung sehingga berlubang2. Penyakit pula masih belum diketahui kerana pokok ceri kampung adalah pokok liar yang tahan lasak.

Walaupun begitu, jangan tanam pokok ceri kampung aka Muntingia calabura hampir dengan rumah dan bangunan kerana akarnya yang besar, kuat dan lasak dapat menjalar jauh dan merosakkan struktur rumah atau bangunan manakala lubang2 bekas akarnya yang mati akan menjadi tempat / rumah kepada haiwan2 yang tidak diundang / diingini.

Buah ceri kampung yang masih hijau, akan bertukar merah bila masak

Bahaya kalau tanam terlalu hampir dengan rumah, walaupun dalam beg poli tetapi akarnya masih boleh menembusi celah2 simen dan semakin membesar

Bunga sempurna pokok ceri kampung

Daunnya hijau bujur dan sedikit berbulu / baldu dan menghala ke bawah untuk memerangkap air hujan / embun

Bunga yang masih mekar menunggu pendebunga datang

Kelopak bunga sudah tanggal menandakan putik sedang terbentuk

Putik buah yang masih baru

Proses pembentukan buah

Buah, ada satu tangkai ada tiga tangkai. Setiap tangkai sebiji buah

Hasil karya belalang kunyit

Pokok ceri tepi pagar yang akan dikemaskan kerana akarnya sudah menjalar jauh.

Semoga bermanfaat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan